SUNGGUHPUN kita telah disajikan dengan fakta bahawa minyak kelapa
berbahaya untuk kesihatan selama hampir 30 tahun, kita tidak pula
diberitahu bahawa kajian tentang kesan sebenar kelapa telah dimulakan
lebih 70 tahun dahulu.
Bermula dari awal tahun 1930, Dr. Weston A. Price, seorang penyelidik,
pakar pemakanan yang juga merupakan seorang doktor gigi dari Cleverland,
Ohio mendapati penduduk di Kepulauan Pasifik mempunyai tahap kesihatan
fizikal dan gigi yang menakjubkan. Dipercayai ia disebabkan corak
pemakanan harian berasaskan kelapa. Mereka juga mempunyai rambut serta
kulit yang cantik walaupun banyak terdedah kepada sinaran ultraviolet
matahari.
Pada awal tahun 1960-an, Dr. Ian A. Prior, seorang pakar jantung yang
juga merupakan pengarah Pusat Penyelidikan Wabak Penyakit di Hospital
Wellington, New Zealand telah melakukan penyelidikan di dua buah pulau
iaitu Puka Puka dan Tokelau di Lautan Pasifik Selatan.
Dr. Ian merumuskan, penduduk setempat banyak memakan kelapa sebagai diet
harian. Hasilnya, paras kolesterol rendah, kesihatan fizikal amat baik
dan tiada penyakit kronik seperti jantung atau kanser.
Pada tahun 1966, suatu penemuan besar telah dirumuskan oleh Profesor Dr.
Jon J. Kabara, seorang penyelidik dan pakar farmakologi di Universiti
Michigan . Beliau mendapati, minyak kelapa dara yang terdapat dalam
santan kelapa sebenarnya sejenis antivirus, bakteria, kulat dan parasit
semula jadi yang kuat.
Maka terjawablah kemusykilan Dr. Weston A. Price dan Dr. Ian A. Prior
selama ini, mengapa penduduk di Kepulauan Pasifik begitu sihat.
Penemuan besar oleh Dr. Jon J. Kabara ini sebenarnya berupaya merubah senario industri kesihatan dunia.
Dalam tahun 1980-an, Dr. Raymond Peat, seorang profesor fisiologi dari
Universiti Oregon melaporkan, minyak kelapa dara dalam hampas kelapa
berupaya menurunkan berat badan.
Fakta ini menyangkal pandangan yang mengatakan minyak kelapa menambah
berat badan. Pada tahun 1990-an, Dr. Mary G. Enig, seorang pakar lemak,
pemakanan dan seorang ahli biokimia dari Universiti Maryland merumuskan,
minyak kelapa dara adalah makanan yang memberi pelbagai khasiat
kesihatan.
Perbezaan minyak kelapa dara dengan minyak kelapa biasa Minyak kelapa
dara diproses dengan tidak menggunakan sebarang haba atau bahan kimia.
Ini menyebabkan struktur dalaman asal minyak kelapa dara terpelihara dan
dapat mengekalkan sifat-sifat antivirus dan antibakterianya.
Untuk memproses minyak kelapa biasa secara komersial dan meluas, haba
dan kimia digunakan menyebabkan struktur dalaman minyak kelapa biasa
terganggu dan berubah. Ini mungkin boleh memudaratkan. Antaranya,
meningkatkan kolesterol dan menaikkan berat badan.
Oleh kerana minyak kelapa dara amat rumit untuk dihasilkan, ia hampir tidak wujud di dalam pasaran minyak makan.
Selain itu, kos pengeluarannya juga tinggi dan tidak mampu bersaing
dengan pasaran minyak lain. Agak pelik, apabila dinyatakan minyak kelapa
secara umum berbahaya untuk kesihatan kerana pohon kelapa hebat dengan
pelbagai fungsi - dari pangkal hingga ke hujung. Malangnya apabila pihak
luar mempunyai kepentingan global mengatakan minyak kelapa berbahaya
untuk kesihatan, kita mengikut telunjuk mereka.
Kita perlu mengetahui empat perkara penting yang menyebabkan minyak kelapa dara lenyap:
Minyak kelapa dara adalah suatu kejadian Allah yang semula jadi. Ia
tidak boleh dipaten oleh mana-mana pihak untuk kepentingan perniagaan.
Minyak kelapa dara tidak boleh dipaten. Ini menggugat industri kesihatan
dan perubatan global yang menyebabkan syarikat farmasi antarabangsa
khuatir jualan ubat-ubat moden boleh merosot seandainya manusia beralih
kepada sesuatu yang semula jadi Faktor minyak kelapa dara tidak boleh
dipaten hak penghasilannya adalah sesuatu yang amat merugikan kepada
syarikat-syarikat besar itu.
Wujudnya kempen global Persatuan Minyak Soya Amerika pada awal 1970-an
terus mematikan daya saing minyak tropika termasuk minyak kelapa. Kempen
meluas yang mengatakan minyak kelapa membahayakan kesihatan menjadikan
industri kelapa Malaysia terkubur.
Syarikat-syarikat besar farmasi dunia juga mengenakan cengkaman ke atas
semua sekolah perubatan di dunia. Mereka memberi sumbangan berbilion
ringgit untuk menjalankan penyelidikan yang keputusannya disesuaikan
menurut kepentingan perniagaan global mereka.
Oleh kerana banyak kajian perubatan dipengaruhi oleh syarikat farmasi
antarabangsa, tidak ada seorang doktor yang akan mengatakan minyak
kelapa dara berfungsi untuk kesihatan.
Kini industri kesihatan dunia bergantung kepada perubatan moden yang
berasaskan kimia. Ia boleh membawa kesan jangka panjang kepada perubatan
alternatif yang banyak berasaskan bahan semula jadi.